Kerja Abang Am

Kerja yang Abang Am Lakukan

amran dan kerja2

Apa yang Abang Am buat?

Sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Abang Am menerima elaun setiap bulan. Walaupun dah lama kaki ni cacat, tapi cuma pada tahun 2017 Abang Am daftar sebagai OKU di JKM.

Abang Am ialah OKU bekerja. Walau kaki ni selalu sakit dan tak boleh lasak, Abang Am terpaksa bekerja menggunakan kudrat sebab Abang Am tak sekolah tinggi. Tulang empat kerat inilah Abang Am gunakan untuk cari nafkah untuk isteri dan anak.

Dulu isteri Abang Am bekerja sebagai wartawan. Tapi sejak Pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, banyak syarikat terjejas. Syarikat tempat kerja isteri Abang Am pun turut terjejas. Pada 30 November 2020 yang lepas, isteri Abang Am dapat notis pemberhentian kerja. Jadi isteri Abang Am terpaksalah berhenti kerja dan kami sama-sama tak ada pendapatan tetap.

Berniaga Burger

Sejak berusia 14 tahun lagi Abang Am dah mula ikut jiran berniaga burger. Abang Am tengok cara bos Abang Am berniaga misalnya menyediakan bahan nak masak, layan pelanggan, pengurusan kebersihan di gerai. Macam-macam Abang Am belajar. Lepas habis sekolah, Abang Am kerja jadi despatch hantar surat dan juga runner di syarikat makanan segera. Malam Abang Am buka gerai burger sendiri.

Sampailah Abang Am kemalangan jalan raya dilanggar oleh pemandu mabuk dan patah kaki menyebabkan Abang Am alami kecacatan kekal. Sejak itu Abang Am tiada motosikal lagi dan Abang Am berniaga burger setiap malam di tepi jalan berdekatan dengan rumah.

Sampailah satu ketika, lokasi tempat Abang Am niaga burger tu tak boleh lagi dijadikan tempat berniaga, Abang Am mula berniaga burger hanya dari rumah. Target utama pelanggan Abang Am ialah penduduk apartment tempat Abang Am tinggal. Selain burger, Abang Am ada juga buat roti john tapi hanya ketika bulan puasa sahaja.

Impian Abang Am adalah untuk berniaga kembali di gerai burger. Tak kiralah sama ada di jalanan atau di bawah satu bumbung dengan restoran yang ada. Abang Am ingin membesarkan perniagaan burger ini jadi satu perniagaan yang lebih serius. Abang Am ada kepakaran membuat burger yang sedap. Cuma buat masa ini, apa yang menjadi halangan adalah lokasi perniagaan dan juga modal untuk pergi lebih jauh.

amran karno jual burger
amran-dan-kerja

Servis Angkut Sampah

Memandangkan perniagaan burger Abang Am masih lagi kecil disebabkan jumlah pelanggan yang tidak meluas, Abang Am perlu buat satu lagi kerja untuk menampung sara hidup sekeluarga. Abang Am buat servis angkut sampah penduduk apartment Abang Am ni.

Caranya adalah dengan ambil upah daripada penduduk yang mahu Abang Am buangkan sampah domestik mereka. Sampah perlu diikat dengan kemas dalam plastik sampah. Hanya sampah rumah sahaja. Kemudian Abang Am akan pungut sampah tersebut dan buangkan di rumah sampah. Ya, Abang Am bekerja dengan sampah.

Diam tak diam, dah lima tahun Abang Am buat kerja ni sejak 2015 lagi. Abang Am pernah memohon dengan Badan Pengurusan tempat Abang Am tinggal untuk dapat kontrak pembersihan di sini. Namun belum rezeki Abang Am lagi. Memang agak sukar untuk OKU diberi kepercayaan mendapat kontrak yang besar. Tapi Abang Am percaya dengan rezeki Allah.

Tolong Isteri Jadi Runner

Isteri Abang Am ada buat bisnes online. Dia jadi ejen menjual kosmetik. Abang Am selalu tolong isteri Abang Am untuk mengepos barang kastemer dia. Termasuk jugalah tolong delivery barang yang dibeli oleh kastemer dalam lingkungan jarak yang Abang Am boleh hantarkan.

Jadi runner ni bolehlah dikatakan sebagai tanda sokongan Abang Am terhadap apa yang isteri Abang Am buat. Dia jual, Abang Am tolong jadi runner. Lagipun masa bujang dulu memang Abang Am pernah kerja despatch dan runner makanan segera. So, tak ada masalah untuk Abang Am buat semua tu.

abang--am-runner-haus-cosmetics
amran karno karaoke

Menyanyi Hiburkan Hati

Abang Am minat menyanyi dan boleh menyanyi dengan baik. Senang cakap, suara tu ada. Abang Am aktif juga pergi uji bakat. Pernah sampai shortlisted tapi belum ada rezeki nak jadi finalis.

Abang pernah pergi uji bakat Rockanova, I Can See You Voice Malaysia dan Mikrofon Impian.

Kalau ada pertandingan karaoke, Abang Am selalu join. Pencapaian terbaik Abang Am adalah Naib Juara masa pertandingan karaoke di Hari Keluarga Sinar Harian.

Akhir kata, kepada golongan OKU, 

Jomlah kita bekerja. 

Walaupun gunakan tulang empat kerat, selagi terdaya marilah kita bekerja. 

Abang Am terinspirasi dengan OKU yang berjaya dalam bidang masing-masing. 

Abang Am nak jadi macam mereka.