Abang Am tak mohon kad OKU JKM lepas keluar dari hospital. Tak tahulah. Abang Am rasa tak perlu. Sebab masa tu Abang Am rasa masih mampu bekerja. Abang Am kerja niaga burger di tepi jalan. Sebab itulah Abang Am rasa tak perlu untuk mohon kad OKU. Masa tu rasa ego pun ada. Yalah, terasa malu dengan title kurang upaya.
Sampailah Abang Am kahwin pada 2014. Isteri Abang Am yang sarankan Abang Am untuk mohon kad OKU. Rupa-rupanya, banyak manfaat apabila kita ada kad OKU ni. Bukan untuk duit bulanan semata-mata tapi lebih pada pelbagai kemudahan lain. Terima kasih untuk isteri Abang Am yang banyak bagi semangat pada Abang Am.
Yalah, dengan kapasiti keupayaan kita yang terbatas, manfaat ini sekurang-kurangnya boleh buat kita lebih mudah untuk uruskan kehidupan seharian. Bagi Abang Am, selagi kita boleh bekerja, kita bekerja. Bantuan daripada pelbagai pihak untuk golongan OKU adalah sebagai penaik semangat untuk kita.